KISAH KASIH SAYANG

Saja nak kongsi cerita ni…..cerita aku dapat daripada e-mel Taman2Syurga@yahoogroup. Pembaca yang berjiwa sentimental dinasihatkan menyediakan tisu ketika membaca kisah ini..selamat membaca…….

32304508img8110rainbowl

Subject : kisah kasih sayang

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu  hari,  untuk  mendapatkan  sehelai  sapu  tangan  yang menjadi  keperluan  anak  gadis  ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah – ayah memanggil kami berduaDia  meminta  aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah.. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

“Baik,kalau tak mengaku,dua- dua ayah rotan!” sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Saya yang ambil!”

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah..

Setelah  puas  melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:

“Kamu  sudah  mula  belajar  mencuri  di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”

Malam  itu,  emak  dan  aku tak lepas-lepas mendakap adik.

Belakangnya  yang  berbirat  dipenuhi calar-balar cuba kami ubati.

Namun

adik cukup  tabah.  Setitis  pun  air  matanya  tidak  mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat  keadaan  itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Adik  segera  menutup  mulutku  dengan  kedua-dua belah tangannya lalu berkata,”Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!”

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di  ruang  tamu.  Aku  terdengar ayah  berkata, “Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!”

“Tapi apalah maknanya bang…!” aku terdengar ibu teresak-esak.

“Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?”

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.

“Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!”

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.

Panggggg…. sebuah  penampar  singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

“Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!”

“Orang  lelaki  kena  bersekolah.  Kalau tak, dia takkan dapat membawa  keluarganya  keluar  daripada  kemiskinan,”  aku  memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

“Kakak perempuan… biarlah kakak yang berhenti.”

Tiada  siapa  yang  menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya.

Dia  membawa  bersamanya  beberapa  helai  baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin  tempat  dia  lelapkan  mata,  terdapat  sehelai  kertas yang tercatat…. .

“Kak…untuk  dapat  peluang  ke  universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak.”

Apa  lagi  yang  saya  tahu  selain meraung. Ayah termenung, jelas dia  cukup  kecewa.  Begitu  juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu  petang  ketika  berehat  di asrama, teman sebilik menerpa:

“Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!”

“Pemuda kampung?” bisikku. “Siapa?”

Tergesa-gesa  aku  keluar  bilik.  Dari  jauh  aku nampak adik berdiri  dengan  pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.

“Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!”

Sambil  tersenyum  dia  menjawab,  “Akak lihatlah pakaian adik ni.

Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup  tersentuh.  Tanpa  sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam  suara  antara  dengar dan tidak, aku bersuara, “Akak tak peduli apa orang lain kata.”

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia  mengenakan  pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak.”

Aku kaku.  Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen.

Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

“Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.”

“Adik  kamu  yang  bersihkan.  Dia  pulang  kelmarin.  Habis tangannya luka-luka.”

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

“Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

“Tak….Kak  tahu,  semasa  bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan  serpihan  simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.

Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.”

Apalagi…aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

“Kalau  adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?” kata adik.

“Adik  takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada.”

“Adik tak ke sekolah pun kerana akak.” kata ku memujuk.

“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung,  juruacara majlis bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”

Spontan adik menjawab,  “Selain  emak, kakak saya….”katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke  sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai  kasut  sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya.  Dia  berjalan  dengan sebelah kasut.. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar. “

“Sejak  itulah  saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa  saja  demi  kebahagiaan  kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila.”

Sebaik adik tamat bercerita,  aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

 

About sanggupa

ambo orang biasa selipa jepun baju guni nasik dengan budu naik basikal buruk Lihat semua kiriman oleh sanggupa

4 responses to “KISAH KASIH SAYANG

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: