Category Archives: -SeNi-

BUBU MENGALAI dan BELAGO KOGHE

BUBU MENGALAI

Salah satu budaya suku kaum Bisaya Sabah mengadakan bubu mengalai. Bubu ialah sejenis alat yang digunakan untuk menangkap ikan yang diperbuat daripada buluh. Manakala perkataan mengalai ialah bermaksud tarian dalam bahasa Bisaya dan Brunei.

Pada zaman dahulunya, tarian diadakan selepas menuai padi. Setelah habis padi dituai, diadakan satu pesta bertujuan untuk menghiburkan hati setelah semusim penat membanting tulang di sawah. Di dalam pesta ini diadakan pesta tarian dan makan-makan menandakan kesyukuran diatas rezeki yang dikurniakan.

Bubu mengalai dimulakan dengan beberapa orang  lelaki mengelilingi sebuah bubu yang dipakaikan dengan pakaian sesosok manusia. Bubu tersebut dipakaikan pakaian seakan-akan  seorang manusia dan dikelilingi oleh sekumpulan lelaki sambil memegang bubu tersebut. Sebelum itu terlebih dahulu dibacakan mantera khas bubu mengalai. Ianya dibacakan oleh seorang yang berkemahiran dalam hal ini.

Bubu yang dipakaikan baju tadi dilonjak-lonjakkan  untuk beberapa ketika sehingga bubu itu akhirnya dengan sendirinya menari. Dengan sendirinya bubu tadi akan menari melonjak-lonjak tapi dipegang oleh lelaki-lelaki tadi.

bubu tadi dipegang kerana bimbang ianya akan terbang lari. menurut yang diceritakan,jika bubu ini terbang masuk sungai,ianya akan bertukar menjadi naga. itu merupakan kepercayaan orang dulu-dulu.

Untuk menghentikan bubu daripada terus menari ialah dengan memasukkan tangan ke dalam kain yang dipakaikan pada bubu tersebut..

Sumber:cikgu abdur razak yaacob yong,ustaz zamri,ustaz azlan..(cerita adalah dari mulut ke mulut.ustaz zamri pernah menyaksikan peristiwa tersebut)

BELAGA KOGHE

Belaga koghe atau ‘berlaga kukuran’ adalah budaya orang Kelantan pada zaman dahulu. Secara umumnya adalah hampir sama dengan ‘bubu mengalai’ yang mana turut diadakan di dalam sesebuah pesta. Belaga koghe dahulunya diadakan dalam pesta keramaian seperti selepas pesta menuai atau kenduri kahwin.

Belaga koghe bukanlah sebuah tarian,sebaliknya ialah sejenis permainan berlawan seperti berlaga lembu bezanya Cuma permainan ini menggunakan sejenis kukuran yang tidak bernyawa. Setelah dijampi dengan mantera-mantera yang khusus, kukuran-kukuran tersebut akan hidup dan berlawan satu sama lain. Dikatakan kukuran ini berkejaran sehingga melanggar tetamu yang hadir.

Menurut cerita dari mulut ke mulut yang saya terima, sebelum memulakan permainan ini, seekor biawak pasir dikorbankan dengan menyembelihnya untuk mendapatkan darah yang kemudiannya dilumur pada kukuran tersebut.

 Maklumat mengenai belaga koghe ini susah untuk didapati memandangkan permainan ini telah lama pupus di Kelantan. Jampi mantera yang dibacakan dikatakan adalah ayat-ayat daripada Al-Quran dan ditambah dengan jampi khas untuk permainan ini. Ianya juga sama dengan tarian bubu.

sanggupa: janganlah kamu minta pertolongan selain daripada Allah


SENI SILAT MELAYU

arjuna membusur panah- ihsan dari lokanbertepuk.com

arjuna membusur panah- ihsan dari lokanbertepuk.com

Seni silat merupakan salah satu tradisi peninggalan nenek moyang Bangsa Melayu yang kini kian ditelan zaman. Silat begitu sebati dengan kaum melayu di seantero kepulauan melayu terutama Malaysia dan Indonesia. Jika kita selidik, terdapat berpuluh-puluh jenis silat yang terdapat di tanah melayu ini, bahkan mungkin beratus jenis silat.

Silat merupakan sejenis tarian atau gerakan mempertahankan diri ataupun tarian perang. Pergerakan tari silat yang lembut tersirat pukulan-pukulan maut dan gerakan menepis atau mengunci musuh. Jika dilihat dengan mata kasar kita tidak Nampak apakah maksud di sebalik gerakan tari silat tersebut. Bahkan ada yang memandang rendah terhadap kemampuan silat dalam seni mempertahankan diri kerana dianggap lembik dan tidak glamour. Aku pun dulu pernah berkata belajar boxing lebih baik daripada belajar silat. Buat apa belajar silat dengan tari-tari yang tidak dapat digunakan ketika berlawan. Masa berlawan, takkanlah nak bernari lagi…itulah sinis daripada orang-orang yang tidak tahu nilai seni silat termasuk aku. Boxing lebih baik sebab Nampak pukulannya dengan jelas, dengan hayunan penyepak yang bisa menjatuhkan lawan dan siku yang boleh membelah tempurung kepala musuh. Tari boxing atau langkah sembah kelihatan lebih  gagah dan megah sesuai dengan jiwa aku yang suka lasak heheh…itulah menyebabkan kurangnya minat aku terhadap silat.

Rupa-rupanya aku silap…silap menilai pusaka yang telah banyak membunuh musuh, menghalau penjajah, mempertahankan negeri. Apakah senjata yang digunakan datuk nenek kita sewaktu melawan penjajah kalau bukan dengan silat. Walaupun berparang, berkeris atau bersenjata lain, silatlah yang menjadi tonggak menghunus senjata-senjata tersebut. Keadaan berlawan pada zaman dulu adalah dalam jarak dekat, oleh itu tidak dapat lari dari silat kerana kita tahu seni mempertahankan diri melayu adalah silat. Silat adalah seni mempertahankan maruah tertua bagi bangsa melayu. Keris pula merupakan senjata yang sinonim dengan silat, dan lambang bagi bangsa melayu. Itulah sebab lambang UMNO adalah keris.

Dalam kelembutan ada ketangkasan, dalam ketangkasan ada pukulan, Dalam tarian terkandung seribu jurus, itulah kehebatan silat. Pun begitu, silat hanyalah ilmu untuk mempertahankan diri bukan untuk menunjuk-nunjuk kehebatan sendiri. Gerakan silat yang lemah lembut menunjukkan kelembutan orang melayu yang sinonim dengan bangsa melayu yang sopan-santun hatta dalam bertempur sekalipun. Silat yang aku maksudkan disini ialah silat yang asli atau kampung. Ini kerana silat cekak tidak banyak tari bahkan hampir tiada. Ianya lebih menumpukan kepada ketangkasan.

Biarpun begitu, segelintir sahaja yang minat dengan ilmu silat. Generasi muda sekarang didedahkan dengan ilmu mempertahankan diri seperti taekwon-do, karate, judo dan sebagainya yang Nampak gah berbanding silat melayu. Seolah-olah silat melayu tidak begitu bernilai ataupun tidak dapat menyaingi kehebatan ilmu mempertahankan diri lain. Apakah ini kerana ketiadaan guru-guru silat yang membuka kelas atau darjat silat yang dianggap kekampungan menyebabkan tiada selera anak muda dengan silat…?

Jika menyelusuri sejarah silam, alangkah beruntungnya kita kerana dapat mewarisi ilmu ini. Bukan kerana kemegahan atau keegoan, tetapi kerana betapa besarnya nilai sesebuah ilmu persilatan itu. Pada masa aku kecil, aku hanya dapat mendengar namanya sahaja. Silat yang berbentuk kebatinan ataupun tidak. Sebagai contoh “silat tapak suci, silat selendang putih, silat Helang putih, silat buaya putih, silat gerak, silat sendeng, silat makrifat, dan banyak lagi nama-nama silat melayu yang kian dilupakan. Aku juga diceritakan ketika tercetusnya pergaduhan kaum di Malaysia, ada sejenis silat yang mempertahankan kaum melayu.

Adapun silat berbentuk kebatinan amatlah rumit untuk mempelajarinya. Ini kerana kesilapan amalan boleh memberikan kesan buruk kepada pengamalnya. Inilah mungkin penyebab ketiadaan orang mahu meneruskan ilmu ini. Silat batin ini, menurut cerita-cerita orang tua, pokok kelapa boleh tumbang hanya dengan menolak angin sahaja. Musuh boleh terpelanting hanya dengan menghembus nafas dan boleh berdiri di atas daun pisang. Amalan-amalannya adalah berbentuk zikir-zikir kepada Allah mengamalkan zikir nama-nama Allah dan sebagainya.

Manakala silat yang tidak berbentuk kebatinan ini tidaklah rumit untuk mempelajarinya. Tidak perlu kepada mengamalkan ayat-ayat tertentu dan sesuai dipelajari semua golongan. Pun begitu, masih ada ayat-ayat yang dijadikan sebagai pendinding atau amalan dalam silat tertentu.

Gerakan-gerakan tari silat adalah berbeza antara satu sama lain. Tari-tari itu sebenarnya adalah teknik serangan atau menangkis yang digayakan dalam bentuk tari. Yang aku masih tertanya-tanya ialah silat tari atau silat jatuh, apakah ianya adalah silat perang atau sekadar untuk persembahan? Kena Tanya arjunasukma la orang ssoho lakoh pat tapey.

Satu misteri dalam silat ialah muzik. Tiupan serunai dan gendang merupakan “hantu” yang boleh merasuk seseorang pesilat. Jika muzik silat dimainkan, pesilat akan “naik serbu” kemahuan dalaman menolak-nolak menyuruh membuka sembah memula pencaknya. Inilah yang dikatakan “ANGIN” silat sepertimana angin makyung, angin dikir,dan angin teri. Itulah misteri yang belum terungkai pada pemikiran aku. Biarpun enyakit angin ini pernah dikatakan oleh Pak Mat Lokan Bertepuk dalam blognya lokanbertepuk.com. Aku pernah belajar silat tongkat, ketika majlis perlimau aku terasa jari aku dipukul…sampai sekarang aku tertanya-tanya kenapa tidak sakit??. Adakah kerana terlalu bersemangat ketika berada dalam “bong” ataupun semangat “bong” yang menguasai ketika itu??angin aku angin tohor jah…

Satu lagi ialah mengenai adat perlimau silat. Menjadi adat sebelum anak murid beraksi dalam gelanggang, disembelih ayam jantan setiap orang seekor ayam. Setelah disembelih, ayam tadi dicampak ke dalam sebuah lubang. Aku dengar cerita kononnya jika ayam tadi tidak keluar dari lubang tersebut, mungkin murid itu boleh jadi guru. Ayam aku mati dalam lubang…heheh…peralatan lain ialah benang mentah dan duit sen untuk dijadikan pengeras kepada tok guru. Tokguru aku berkata, ini hanyalah sebagai adat dalam perlimau. Benda-benda karut dalam majlis ini tiada. Kalu dulu, dengarnya ada menggantung benang hitam di bangsal perliamau dan ditanam lilin di setiap penjuru  empat tapan. Wallahu a’alam lah…aku tidak pernah nampak benda-benda sebegitu sepanjang hidup aku. Yang paling penting dalam majlis perlimau ialah pulut semangat…hmmm…kenapalah ye orang panggil pulut semangat?

Sehebat dan sekuat silat yang pernah menyanjung nama bangsa Melayu pada kurun terdahulu, adakah masih kuat untuk melawan arus abad kini. Bangsa Melayulah yang harus mempertahankannya, sebagaimana silat pernah mempertahankan bangsa melayu dahulu. Takkan hilang Melayu di dunia…melayu akan hilang jika identiti melayu ini hilang…


TARIAN ASYIK KELANTAN

Tarian Asyik

tarian makyung ihsan dari lokanbertepuk...sekadar hiasan

tarian makyung ihsan dari lokanbertepuk...sekadar hiasan

 Lama sudah aku tak menulis pasal kesenian Kelantan sebab dok ralit melihat adat budaya suku Brunei. Setelah membaca http://lokanbertepuk.com kepunyaan ayah mat mengenai tarian inai (pernah juga aku tulis dalam blog ni) terasa pula mahu menulis mengenai tarian asyik. Ayahmat pernah bercerita mengenai tarian ini dan juga memberi aku artikel mengenai tarian ayik ini. Ketiadaan masa menyebabkan artikel ini dilambatkan. Ada dua jenis tarian lagi yang dikatakan tarian Kelantan, iaitu tarian Payang dan tarian Wau Bulan yang belum dilampirkan dalam tulisan ini.

Tujuan tulisan ini hanyalah untuk tatapan umum mengenai kesenian yang makin pupus di Kelantan, bukan bertujuan mengungkit kembali taghut sepertimana kawan aku cakap kepada aku sewaktu aku menulis mengenai kesenian Kelantan. Katanya kalau di Mesir orang sibuk membongkar kembali kekhurafatan Firaun untuk dihidupkan kembali pada zaman ini. Tulisan ini bukan bertujuan sepertimana apa yang kawan aku cakapkan itu…adapun kesenian dibolehkan asalkan kena pada syarak. Jika tarian ini dilakukan oleh lelaki ataupun oleh perempuan tetapi hanya untuk tontonan kaum sejenisnya adalah tidak mengapa.

Mengenai tarian asyik ini, ianya merupakan salah satu tarian yang masyhur di Kelantan dan ditarikan di istana-istana ketikamana majlis besar seperti majlis upacara negeri, malam majlis berinai besar ataupun majlis perkahwinan.

Adapun asal-usul tarian ini dikatakan bermula dengan kisah seorang  raja yang kesedihan kerana kehilangan burung kesayangan baginda. Oleh kerana terlalu sayangkan burung baginda, baginda menitahkan agar satu tarian diciptakan meniru gerak-geri burung tersebut.

Kisahnya bermula dengan seorang puteri yang memerintah Patani yang pada tahun 1644. Baginda mempunyai 12 orang penari dan penyanyi istana. Baginda telah menamakan penari-penari ini dengan nama penari asyik.

Tarian ini ditarikan oleh dayang-dayang istana yang telah dilatih khas di istana. Tarian ini dimulakan dengan duduk bersimpuh dan diikuti pula oleh “Puteri Asyik” iaitu ketua tarian dengan mengangkat sembah dan barulah tarian ini dimulakan. Sebagai gambaran mungkin kita boleh tonton cerita melayu klasik di mana penari menari di hadapan raja.

Pakaian penari asyik ini sama dengan penari mokyong dengan berbaju berlengan pendek berwarna merah, bersimpang kain selendang hingga ke paras pinggang , berkain sarung dan memakai pending. Bagi Puteri Asyik pula memakai canggar pada sanggul.  

Alat muzik yang mengiringi tarian ini terdiri daripada 11 jenis gedombak asyik, rebab dan gambang. Aku sendiri sebenarnya belum pernah lihat bagaimana bentuk tarian ini. Untuk perkara lebih lanjut anda boleh rujuk kepada yang pakar. Kata Arjunasukma…tulis dulu, hok saloh tu lah ilmu.


tarian mengadap rebab

Tarian mengadap rebab:
Ianya merupakan tarian yang dilakukan ketika hendak memulakan persembahan makyong,iaitu sejenis persembahan lakonan warisan negeri Kelantan,boleh dikategorikan dalam teater muzikal.
Ianya diketuai oleh pak yong iaitu pelakon utama dalam tarian makyong. Pak yong akan menari bersama-sama dengan penari makyong lain yang terdiri daripada penari wanita mak yong,pelawak dan pelakon-pelakon lain.
tarian ini biasanya ditari sebelum sesuatu persembahan makyong dimulakan.selepas melakukan upacara tarian ini barulah makyong sebenar dimulakan.


tarian syirik

Tarian tolak bala:
di Kelantan tatkala mula ada satu lagi jenis tarian iaitu tarian tolak bala. tarian ini sekian lama telah pupus kerana mengandungi unsur-unsur khurafat syirik. amalan ini sememangnya wajib dilupuskan. walaubagaimanapun ianya sekadar maklumat ringkas untuk tatapan umum.

Tarian ini adalah kepercayaan masyarakat untuk menolak bala. Ianya dilakukan oleh masyarakat kelantan pada masa dahulu. Jikalau seseorang sakit, keluarganya akan bernazar mengadakan tarian tolak bala. Menurut kepercayaan mereka, tarian ini diadakan untuk penunggu supaya tidak menggangu pesakit. Bahan-bahan seperti beras kunyit dan sebagainya untuk dipersembahkan kepada penunggu tersebut dengan cara membuang ancak di belukar berhampiran bertujuan supaya penunggu tidak lagi mengancam pesakit.